Siapa sangka usaha mengangkat kisah raja buah iaitu durian dalam filem The King of Musang King memberi pulangkan lumayan buat tiga produksi iaitu Lomo Pictures, MM2 dan Jteam Productions.

Apakan tidak sejak ditayangkan pada 22 Januari lalu filem yang menyuntik elemen cinta dan kekeluargaan itu mencatat kutipan keseluruhan lebih RM15 juta hasil tayangan di dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Penerbit Lomo Pictures, Aron Koh berkata, tujuan asal pembikinan filem itu adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai masyarakat Malaysia dalam memperkenalkan keunikan yang ada di negara ini ke seluruh dunia.

“Malaysia adalah antara negara pengeluar durian terbaik di dunia, jadi kami mahu mengetengahkan perkara ini. Selain itu, ia sebagai usaha mempromosikan pelancongan di Malaysia kepada masyarakat luar.

“Secara tidak langsung ia memberi gambaran positif terhadap Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti cuba sedaya upaya memperkenalkan nilai atau budaya dimiliki negara kepada dunia.

“Saya juga berbangga apabila filem ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac),” katanya pada sesi tayangan khas filem berkenaan baru-baru ini.

Berikutan sambutan baik yang diterima Aron turut menaruh keyakinan membawa filem berkenaan ke Hong Kong dan Taiwan untuk ditayangkan.

“Filem yang menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin ini mempunyai potensi dalam pasaran perfileman negara seperti Hong Kong dan Taiwan.

“Saya yakin filem ini ada kelebihan tersendiri dan boleh menarik minat penonton di luar negara,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran menghasilkan filem yang menelan kos kira-kira RM5 juta itu pula Aron memberitahu produksi berdepan kesukaran mendapatkan bekalan durian musang king kerana pada ketika itu belum memasuki musimnya.

“Setiap hari kami perlu menghubungi pembekal durian musang king untuk mendapatkannya supaya penggambaran dapat diteruskan mengikut perancangan.

“Walaupun kami berjaya dapatkannya, tapi berlaku peningkatan kos sedikit disebabkan durian musang king itu sangat mahal. Kami terpaksa berbelanja kira-kira RM100,000 untuk mendapatkan durian musang king,” tambah Aron yang tidak meletakkan jumlah sasaran tertentu untuk filem berkenaan.

The King of Musang

King mula menjalani penggambaran sekitar Ogos tahun lalu dan mengambil masa 40 hari di Pahang yang membabitkan tiga lokasi berbeza iaitu Bentong, Karak dan Raub.

Filem ini mengetengahkan kisah cinta di mana ada dua keluarga yang bekerjasama menjual durian musang king ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Disebabkan arahan yang mengekang mereka daripada meneruskan penjualan durian musang king di luar, masing-masing nekad mengambil inisiatif menjualnya secara dalam talian.

Filem arahan Jack Neo manakala skrip ditulis Ivan Ho menampilkan lakonan Mark Lee, Jack Neo, Henry Thia dan Angelina Teoh.

News and photo from Harian Metro