KUALA LUMPUR: Persiapan Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-61 yang bakal berlangsung selama tiga hari antara 29 November hingga 1 Disember depan dibuat dalam skala kecil, namun berkualiti.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha berkata, sebanyak 25 negara akan menyertai acara yang bakal berlangsung di Hotel Wyndham Ion Majestic, Genting Highlands itu.

Pada acara kali ini, antara 40 hingga 50 filem bakal dipertandingkan dalam anugerah mempertaruhkan 21 kategori itu.

Menurut Pansha, pihaknya yakin majlis dapat berlangsung dengan jayanya walaupun persiapan dilakukan dalam tempoh singkat, namun pengalaman sebagai tuan rumah APFF sebanyak lima kali iaitu kali terakhir pada 2005.

“Pada mulanya Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) ingin menangguhkan festival ini, tahun ini.

“Namun selepas perbincangan demi perbincangan, kami membuat keputusan untuk teruskan juga.

“Memang diakui persiapan sangat singkat, tetapi kami akan pastikan acara akan berlangsung dengan lancar. Ini kerana kami tak mengundang ramai mungkin sekitar 500 tetamu,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pengumuman APFF 61 di sebuah hotel di Puchong, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Pengerusi Penganjuran, Aron Koh.

Sementara itu, Pansha menafikan acara itu diadakan dalam keadaan terburu-buru berikutan pengumumannya dibuat kurang dua bulan daripada tarikh penganjuran.

“Kami teguh dengan pendirian untuk adakan majlis ini walaupun secara kecil-kecilan demi sumbangan kepada industri.

“Sebelum itu, acara ini pernah ditangguhkan beberapa tahun berikutan pandemik COVID-19. Jadi, kalau boleh kami tak mahu tergendala lagi.

“Tahun lalu, acara ini diadakan di Macau tetapi serentak dengan Festival Filem Cina, tapi tahun ini Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

“Walaupun skala kecil, tapi kami akan pastikan buat yang terbaik,” kata Pansha lagi.

Menurutnya, FPA juga akan cuba mengundang pelakon terkenal Hong Kong sebagai tetamu pada acara itu.

“Kami sedang berusaha mendapatkan tajaan kerana bercadang mengundang pelakon terkenal dari Hong Kong.

“Acara ini tidak mendapat suntikan dana kerana perancangan diadakan dalam tempoh singkat, jadi tak sempat mohon apa-apa dana,” katanya.

Tahun ini, filem bergenre seram Malaysia berjudul Indera lakonan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Samara Kenzo dipilih sebagai filem pembukaan APFF 61.

News and photo from Berita Harian